BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, April 7, 2010

.:: Menjiwai Alam ::.

Menjiwai Alam Lalu gunung dan bukit bukau berkata :
Ya, dahulu kita semua pernah disuruh oleh Allah untuk memegang amanah sebagai khalifah, tetapi kita menolak. Kerana kita tidak sanggup menanggung bebanan yang berat itu. Manusia pula sanggup menerima.
Kita sudah lama bersabar dengan manusia, badan kita ditarah-tarah untuk dibuat pembangunan dan mereka dirikan pula rumah di sini. Lupakah mereka kita ini adalah pasak di bumi, jangan dilakukan sesuka hati sahaja? Itu belum ditambah dengan maksiat yang dilakukan sewenang-wenangnya.
Manusia ramai yang sombong, sudah diberi peluang hidup di dataran tanah. Tetapi dipanjat juga tempat yang tinggi katanya untuk keamanan, keselesaan. Bukankah teman kita sang air memerlukan ruang untuk bergerak? Bahkan rakan kita pepohonan rimbun memerlukan kehidupan dan menahan dada kita dari rosak?
Ya, benar - kita sudah terlalu tua untuk menerima segala kerakusan manusia.. Atas kehendak Allah jualah kita dikerahkan untuk menggelongsor buat peringatan bagi yang lupa.
Lalu pepohonan hijau juga mencelah :
Entahlah… berapa ramai yang menghargai kita. Kawan-kawan ramai yang mati ditebang orang. Manusia bila sudah kaya terus ingin menjadi kaya dan tamak sehingga mengorbankan ramai kawan kita.
Apakah manusia tidak memerhatikan?, kita diperlukan untuk membekalkan oksigen yang segar. untuk menahan terik matahari, agar haiwan mempunyai tempat tinggal yang sempurna dan makanan yang mencukupi.
Sang haiwan pula berbisikan :
Kita sudah lama berdiam di dalam hutan, tetapi diganggu juga. Apabila kita beramai-ramai keluar dimarahi pula!. Gajah dibunuh untuk gadingnya sahaja, harimau ditembak untuk kulit dan beberapa bahagian badan untuk perubatan kata mereka. Badak, dan unggas lain semuanya sudah membawa dirinya masing-masing. Ada yang ditangkap untuk dipamerkan di zoo, malangnya umur mereka tidak selanjut usianya sebagaimana di dalam hutan.
Manusia pula akan menjawab apa?

Monday, March 22, 2010

Puisi Buat Kaum Hawa

Hawa..

Andai engkau masih remaja,
Jadilah anak yang solehah buat ibu bapamu
Andai engkau sudah bersuami,
Jadilah isteri yang meringankan beban suami mu
Andai engkau masih ibu,
Didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan agama Allah
Hawa..
Andai engkau belum berkahwin,
Jangan kau risau jodohmu,
Ingatlah Hawa janji tuhan kita,
Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik,
Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim,
Kerana aku khuatir,
Dari mata jatuh kehati,
Maka lahirnya senyuman,
Maka tercetusnya salam,
Dan sekali gus di susuli dengan pertemuan,
Takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.
Hawa..
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa,
Lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya,
Lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya dan yang penting agamanya.
Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya
kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk menggodanya,
Kerana dia tahu apa matlamatnya dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita,
Yakni sebuah perkahwinan.
Oleh itu Hawa ..
Jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu.
Andai ditakdirkan tiada cinta daripada Adam untukmu,
Cukuplah hanya cinta Allah memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu,
Biarlah hanya cinta dari kedua ibu bapamu
Yang memberi hangat kebahagian buat dirimu,
Cukuplah sekadar cinta adik-beradik serta
Keluarga yang membahagiakan dirimu.
Hawa...
Cintailah Allah dikala susah dan senang
Kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai Allah.
Cintailah kedua ibu bapamu,
Kerana kau akan memperolehi keredhaan Allah.
Cintailah keluargamu,
Kerana kau tak akan jumpa cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga.

Monday, March 1, 2010

Remaja Dan Kerapuhan Jiwa

SEHELAI demi sehelai majalah itu Amin belek. Bila tiba ke hujung kulit, Amin pergi menonton televisyen, tiada cerita menarik. Bosan! Tiada apa yang hendak dilakukan semasa cuti sekolah ini. Ayah ibunya terlalu sibuk dengan kerja. Kakak dan abangnya masing-masing berada di kolej dan bekerja. Sebagai anak bongsu, dia sangat bosan hanya tinggal dengan pembantu rumah. Lalu dia teringat kawannya, Johan semalam mengajaknya menonton wayang, lantas menghubunginya untuk keluar.

Hari demi hari, begitulah aktiviti Amin. Keluar pun sudah pandai hingga lewat malam. Tiada siapa pun hendak marah dan pantau. Ayah ibu pun pulang lewat malam. Kadang-kadang kedua-duanya terpaksa ke luar daerah, meninggalkan Amin yang disangka mereka sudah besar dan pandai menjaga diri.

Sehinggalah Amin sudah berani mengunjungi tempat-tempat yang tidak sepatutnya dia kunjungi dan terjebak dengan perkara-perkara yang kurang baik. Apa yang nak ditakutkan, tiada siapa yang sedar akan perbuatannya, dan dia merasakan dia bebas melakukan apa sahaja.

SEBAHAGIAN remaja kini amat mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir yang kurang baik dan cenderung untuk mengikut contoh-contoh yang membawa kepada kerosakan diri dan akhlak.

Kisah seperti Amin di atas yang kekurangan perhatian kedua-dua ibu bapanya menjadikan Amin seorang yang sangat mudah terpengaruh dengan ajakan rakan sebayanya dan pengaruh sekeliling.

Rakan sebaya dijadikan tempat untuk meluahkan perasaan, meluangkan masa bersama-sama serta secara tidak langsung, menjadi sumber teladan yang paling hampir dengan mereka. Selalunya remaja cenderung untuk melawan tradisi dan persekitaran yang mengongkong mereka. Perkara yang kurang baik dan negatif mudah diikuti, manakala perkara yang baik senang sahaja ditolak mentah-mentah dan dicemuh.

Zaman kanak-kanak dan remaja adalah tempoh yang sangat kritikal dan penting dalam pembentukan tingkah laku dan perangai. Naluri suka meniru, berkawan, ingin tahu yang ada pada mereka menyebabkan anak mudah terikut-ikut dengan apa yang ada di sekitarnya. Jika yang mempengaruhi itu adalah hal baik maka ia akan berguna kepada diri remaja tersebut. Jika anak dibiarkan dalam keadaan kelompangan hati dan kekosongan teladan, pengaruh buruk mudah menjadi ikutan. Jika keadaan ini berterusan, kerapuhan jiwa dan minda mudah terjadi.

Terdapat kini sebahagian anak-anak, terutamanya remaja gagal mengenal dan membezakan sesuatu yang berguna atau sebaliknya kerana bimbingan tidak diberi pada tahap awal kehidupannya. Jiwa dan minda mereka menjadi rapuh kerana banyak faktor.

Ketidakprihatinan ibu bapa terhadap pembesaran rohani dan emosi anak-anak mereka antara lain menyebabkan kepada permasalahan ini. Kebanyakan ibu bapa kini bertungkus lumus untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa, makanan yang mencukupi serta keperluan asas untuk keluarga, tetapi lupa untuk meluangkan masa untuk anak-anak mereka.

Anak-anak muda yang tidak tahu untuk mengurus kesunyian dan kelompongan jiwa akan mudah mencari teman yang lebih memahami jiwa dan perasaan mereka.

Peringkat awal pembesaran bayi, mereka diberi suntikan imunisasi sebagai langkah pencegahan daripada penyakit untuk menjamin kesihatan jasmani yang mudah terdedah kepada penyakit cacar, Hepetitis B, dan sebagainya. Apabila kekebalan jasmani sudah ada, maka penyakit dapat dicegah. Begitu juga dengan pendidikan emosi anak-anak terutamanya remaja.

Ibu bapa perlu bukan sahaja menitikberatkan aspek jasmani, tetapi juga perlu mengisi jiwa anak-anak dengan amalan rohaniah dan bimbingan agama. Ini akan menjadi bekalan kepada diri remaja supaya lebih teguh menghadapi cabaran dan anasir-anasir yang kurang baik.

Selain itu, konsep berkeluarga dan kehidupan yang bakal mereka lalui apabila dewasa kadang kala tidak diperjelaskan dengan baik oleh ibu bapa. Kebanyakan ibu bapa pula tidak memberikan pedoman yang betul kepada anak remaja mereka tentang apa yang bakal mereka tempuhi apabila dewasa dan kepentingan untuk mempunyai cita-cita dan visi hidup. Ada ibu bapa yang menasihatkan anak-anak untuk berjaya, tetapi tidak pernah mengambil berat tentang prestasi akademik dan kemajuan diri anak mereka di sekolah.

Membina Kekebalan Remaja

Islam menganjurkan pendekatan pencegahan lebih baik daripada mengubati. Pada hari ini, pendekatan mengatasi masalah generasi muda lebih banyak kepada pendekatan natijah terakhir (end result). Bila kerosakan sudah banyak berlaku, tidak banyak yang boleh dilakukan. Bila ketagihan dadah, rokok atau minuman keras mula bertapak ia menjadi agak payah untuk diubati.

Pencegahan bermakna memberi asas kekebalan pada hati dan pemikiran menerusi asuhan dan teladan. Kekebalan jiwa dan pemikiran anak perlu dilakukan menerusi semaian kasih sayang, membina keyakinan dengan asas maklumat dan pengetahuan mudah difahami, ajaran mengenai nilai, adab dan kesantunan supaya anak dengan kelaziman dan kebiasaan baik dapat membezakan sesuatu yang berfaedah atau sebaliknya.

Pengaruh media cetak dan elektronik memberi kesan kepada generasi muda. Apa ditonton dan dibaca membentuk jalan berfikir dan bertindak, kecuali kesedaran awal membezakan sesuatu itu baik atau buruk diberi.

Lazimnya pengaruh persekitaran berlaku sepanjang masa. Anak yang aktif fizikal dan pemikirannya mudah terpengaruh dengan sesuatu diminati dan disukainya tanpa banyak berfikir akibatnya. Keseronokan sering menjadi faktor yang mendorong perlakuan dan tabiat.

Untuk mengubahnya bukanlah satu hal yang mudah. Jika pendekatan pencegahan dibuat pada peringkat awal ia boleh menjadi benteng dalam menghadapi perlakuan negatif.

Selalunya pendekatan pencegahan dilakukan dengan memberi nasihat keagamaan dan menggalakkan mereka mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Pendekatan ini hanya berkesan dan dapat dijadikan amalan sekiranya ia dilakukan menerusi teladan. Rasional harus diberitahu kepada mereka mengapa amalan baik itu patut berlaku kepada mereka. Interaksi seumpama ini penting dan dilakukan secara fitrah iaitu menerusi kasih sayang, belaian, didikan, tunjuk-ajar dan teladan.

Justeru, kekebalan hati dan pemikiran perlu dipupuk dengan asas teladan, contoh dan maklumat yang sesuai dengan umur dan pengalaman hidup anak. Proses ini harus berlaku berterusan supaya keremajaan dan kedewasaannya nanti memiliki kekebalan yang tinggi serta mampu untuk menghadapi cabaran yang mendatang.

Kesimpulan

Anak-anak, terutamanya remaja perlu dibimbing dengan didikan agama dan pelajaran hidup yang baik. Teladan dan contoh ikutan menjadi asas yang sangat penting kepada remaja supaya dapat meneladani perbuatan dan tingkah laku yang baik dan berakhlak.

Kedatangan maklumat dan pendedahan kepada persekitaran perlu diwaspadai bagi mengelakkan anasir-anasir yang rapuh menjengah ke dalam diri remaja. Namun, pada masa sama, remaja juga harus bertindak bijak serta tidak mengikut perasaan dalam bertindak sebaliknya harus mampu untuk berfikir serta merujuk kepada orang yang lebih tua apabila mengalami kebuntuan atau permasalahan.

-perkongsian ilmu (portal SU)-

Monday, January 4, 2010

Lantaran Satu Alif Sahaja

Seperti telah sama-sama kita ma’lumi bahawa Imam Nawawi rah.a. adalah seorang tokoh yang terkemuka dalam kelompok Mazhab Syaafi’ii.

Di sini dipetik sedikit keterangan atau kenyataan beliau rah.a. tentang solat tentang sah-batalnya solat. Semoga dengan penjelasan beliau ini semangat dan usaha kita untuk terus memperbaiki mutu solat kita (menerusi ta’liim dan muzaakarah mithalnya) meningkat.

Berikut adalah kenyataan beliau rah.a. di dalam kitabnya AL-AZKAAR, Maktabah Al-Ghazaali, P.O.BOX 448, Damsyiq. iaitu pada halaman 74:

Mafhumnya : Barangsiapa (di dalam solatnya) bertakbiir (iaitu membaca ALLAAHU AKBAR) dengan lafaz ALLAAHU AKBAAR maka TELAH TIDAK SAHLAH solatnya iaitu batallah solatnya). Begitulah penerangan beliau rah.a. Iaitu orang yang bersolat/bertakbiir itu telah menambah satu huruf ALIF di antara huruf BA’ dan huruf RA’ sehinggalah bertukarlah ALLAAHU AKBAR menjadi ALLAAHU AKBAAR !! Iaitu BAR menjadi BAAR !! Dari segi ma’na pun telah berubah: ALAAHU AKBAR maknanya kira-kira ALLAAH MAHA BESAR dan ALAAHU AKBAAR maknanya kira-kira ALLAAH ITU GENDANG BESAR.

Betapa sempurna pun qiyaam/berdiri seseorang di dalam solat, betapa sempurna pun rukuu’ seseorang di dalam solat, betapa sempurna pun i’tidaal seseorang di dalam solat, begitu pun betapa sempurnanya bahagian-bahagian lain di dalam solat tetapi kalau bertakbiir dengan lafaz ALAAHU AKBAAR maka tidak sahlah solatnya, maka batallah solatnya itu.

HANYA LANTARAN DITAMBAH SATU ALIF SAHAJA di dalam lafaz takbiir maka tidak sahlah solatnya itu !!! Bayangkan andaikata si yg bersolat itu telah bersolat dengan takbiir yang sedemikian rupa selama 60 tahun atau 40 tahun yang lalu!! ALANGKAH MALANGNYA SI FULAN ITU… ..!! Begitulah perlunya kita setiap masa dan ketika BERMUZAAKARAH mengenai perkara-perkara yang meyempurnakan solat kita, perkara-perkara yg membatalkan solat kita dan sebagainya..

Kalau solat kita adalah seperti kain buruk yang dilemparkan ke muka kita sendiri, alangkah tersangat ruginya hidup kita ini… !! Ma’af jua dipinta. Semoga peringatan yang sedikit ini menyentuh perasaan kita ke arah memperkemaskan mutu solat kita. Semoga kita sama2 mengambil i’tibaar… .

Wallaahu a’lam.

Dari sumber Portal S.U

Saturday, January 2, 2010

Marah Biar Bertempat

Nabi SAW dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Berwasiatlah kepadaku Ya Rasulullah. Lalu Baginda bersabda: Jangan engkau marah.” Nabi SAW mengulanginya sebanyak tiga kali

Setiap manusia ada mempunyai sifat marah, begitu juga haiwan. Seekor kucing yang jinak dan manja akan marah apabila kita menyakitinya dengan menarik ekornya beberapa kali.

Sifat sabar adalah penghalang daripada sifat marah. Bagaimanapun, kesabaran ada had dan batasnya kerana apabila sudah hilang sabar maka timbullah kemarahan.

Menurut Imam Al-Ghazali, sikap marah ialah nyalaan api bersumber daripada api Allah yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik ke hati. Maka terpulang kepada seseorang untuk cepat marah, marah keterlaluan (marah tidak bertempat), marah pertengahan (mampu mengawal marahnya) atau tidak tahu marah.

Marah yang sederhana adalah marah terpuji, manakala tidak tahu marah adalah terkeji dan marah keterlaluan adalah termasuk dalam marah terkeji yang dilarang oleh Nabi SAW seperti sabdanya.

Marah keterlaluan dilarang Islam kerana mendatangkan kesan dan implikasi tidak baik kepada orang yang marah, juga orang kena marah. Disebabkan marah ada rumah tangga runtuh, kerana marah anak didera, pembunuhan berlaku, anak lari dari rumah, majikan ditetak pembantu rumah dan kerana marah orang saman-menyaman.

Menurut Imam Al-Ghazali, 10 punca menyebabkan sifat marah:

# rasa bangga diri (sombong)

# takjub kepada peribadi sendiri

# suka bergurau senda yang ber lebihan dan melampaui batas

# suka bercakap perkara sia-sia

# suka membuat fitnah

# suka berbantah-bantah dalam sesuatu perkara

# khianat

# tamak kepada harta dan pangkat

# tidak dapat mengendalikan nafsu dan emosi dengki dan irihati.

Apabila seseorang itu marah maka pergerakan fizikalnya akan turut berubah. Api kemarahan semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat, kata-kata tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina.

Orang yang marah akan merendah-rendahkan orang dimarah, muka dan matanya menjadi merah, badannya terketar-ketar, tangan dan kakinya menjadi ringan untuk memukul dan menghentam, akalnya pada waktu itu tidak digunakan secara betul, semua tindakan mengikut nafsu kemarahannya.

Bagi orang yang waras, tentu kita tidak sanggup melihat keadaan kita sewaktu marah jika ia dirakam dan ditayang semula untuk menontonnya. Bagi orang yang kena marah mungkin akan berdiam diri, kadang kala melawan dengan kata-kata atau kekuatan.

Marah turut berlaku kepada individu yang mempunyai kedudukan seperti orang agama berstatus ustaz, ustazah, tuan guru, ulama, marah dan melenting.

Marah yang dipuji adalah marah yang pertengahan, iaitu marah bertempat. Contohnya, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Nabi SAW mengajar dalam sabdanya yang bermaksud: “Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur.”

Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. Begitu juga dalam mencegah kemungkaran, perlu ada marah.

Contoh paling hebat berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali berada dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya, tiba-tiba musuhnya itu meludah mukanya. Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya.

Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya kepada Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya. Maka Saidina Ali menjawab: “Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana marah kepada kamu kerana meludahku.” Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah.

KIBLAT YANG SATU

Di mana bumi dipijak, di situ agama dijunjung

wahai Muslimin dan Muslimat berpusu

dari seluruh alam

raikan syahadah di Bumi Haram

yang masih halal milik kita

namun kenangi air mat di kiblat tua

berbaur darah para syuhadah

gugur megah iman masih gagah

di luar pintu al-Aqsa

ada jasad masih tersiksa

tidakkah terasakah peritnya kita

Derita mereka

tika tawaf dan melontar jamrah

hanya batu senjata menaboh tanah

atau

di kala sujud di sisi Kaabah

dan zikir remang Raudah

kiblat tua menagih kasih

umat Muhammad

yang terpilih

kembalikan hak

punahkan yang batil

lambang ummah bersatu

zahirkan korban setelah

layak berserban

sesungguhnya kiblat yang lagi satu

milik seluruh ummah

bukan sekadar sejarah.

Dikarang oleh ARRAZA

Friday, January 1, 2010

Sejarah Kamal Ataturk

Beliau ialah Mastafa Kamal Ataturk yang diberi gelaran al-Ghazi (orang yang memerangi). Perkataan Ataturk bermakna bapa orang Turki. Artaturk ialah orang yang bertanggungjawab meruntuhkan Khilafah Islam -Turki pada tahun 1343H (1924M).
Beliau dilahirkan pada tahun 1299H (1880M) di bandar salonika, Greek yang ketika itu merupakan taklukan Khilafah Uthmaniyyah. Bapanya bernama Ali Reda Afandi, berkerja sebagai pengawal di jabatan Kastam. Ada yang mengatakan belaiu ialah bapa tiri Ataturk dan bukan bapa kandungnya. . Ada juga yang mengatakan Ataturk oleh Guru matematiknya yang bernama Mustafa. Mustafa bertugas di sekolah Ataturk iaitu sebuah sekolah menengah tentera dan pada ketika itulah beliau tertarik dengan kebolehan Ataturk dalam bidang matematik lalu mencadangkan nama Mustafa Kamal.
H.S. Armstrong, salah seorang pembantu Ataturk dalam bukunya yang berjudul al-Zi'bu al-Aghbar atau al-Hayah al- Khasah li taghiyyah telah menulis: 'Sesungguhnya Ataturk adalah daripada keturunan Yahudi. nenek moyangnya adalah Yahudi yang berpindah dari Sepanyol ke bandar Salonika.'
Golongan Yahudi ini dinamakan dengan Yahudi Daunamah yang terdiri daripada 600 buah keluarga. Mereka mendakwa memeluk Islam pada tahun 1095H (1683M), tetapi masih menganut agama Yahudi secara senyap-senyap. Ini diakui sendiri oleh bekas Presiden Israel, Yitzak Zifi, dalam bukunya Daunamah terbitan tahun 1377H (1957M): Ada kumpulan-kumpulan agama yang masih menganggap diri mereka sebahagian daripada Nabi Israel...... Antara mereka ada satu kumpulan iaitu kumpulan Daunamah yang Islam hanya pada zahir tetapi mengamalkan ajaran Yahudi secara senyap-senyap.
Ketika Mustafa kamal mencapai usia 12 tahun, beliau memasuki Sekolah Tentera Salonika. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Akademi Tentera Monasitar pada tahun 1302H (1885M). Pada tahun 1322H (1905M), beliau memasuki kolej tentera di Istanbul dan menamatkan latihan ketenteraannya pada tahun 1325H. (1907M). Kemudiannya, belaiu telah ditugaskan di Kem Tentera Batalion ketiga di Salonika. Disini bermulanya usaha Ataturk dalam memusuhi Khalifah Uthmaniyyah dan agama islam. Dengan kedudukannya sebagai graduan kolej tentera, beliau telah mengigatkan rakan-rakan pegawainya agar tidak tertipu dengan pemikiran dunia Islam. Belaiu telah mengubah ucapan Assalamualaikum kepada Marhaban Bikum (Selamat Datang). Tindakan belaiu selanjutnya ialah menubuhkan Pertubuhan Kebagsaan dan Kebebasan yang bertujuan untuk menghapuskan Kerajaan Uthmaniyyah yang menurutnya mengamlkan pemerintahan kuku besi,tetapi malangnya Pertubuhan Bersatu dan Maju yang ketika itu juga bergiat cerdas menentang pemerintahan Islam telah menjadi batu penghalang kepada pengerakan Ataturk ini. Imej Mustakam Kamal menonjol selepas meletusnya Perang Dunia Pertama apabila beliau dipilih sebagai panglima pasukan ke -19 di Sinaq Qal'ah. Pasukannya dapat mengalahkan tentera British sebanyak dua kali di Semanjung Ghalibuli di Balkan Darnadil mestkipun kekuatan tentera British mampu mengalahkan tentera Artaturk. Dengan kemenangan tersebut, Ataturk telah dinaikkan pangkat kapten dan kemudiannya jeneral pada tahun 1335H.(1916M). Pada hakikatnya, kemenangan yang dicapai oleh Mustafa kamal adalah kemenangan yang disengajakan dirancangkan oleh tentera Inggeris supaya reputasi Ataturk dipandang tinggi oleh Kerajaan Uthmaniyyah. Ini kerana peperangan di antara tentera Uthmaniyyah dengan tentera bersekutu berlanjutan selama beberapa hari tanpa mana-mana pihak mencapai sebarang kemenangan sehingga menyebabkan kedua-dua belah pihak bertahan dikawasan masing-masing untuk beberapa bulan. Akirnya pihak Inggeris secara mengejut tanpa disangka-sangka telah meninggalkan kawasan pantai Ghalibuli. Pada tahun 1337H (1918M), Ataturk telah mengetuai satu pasukan tentera di Palestin. Beliau telah menghentikan peperangan terhadap Inggeris, musuh Kerajaan Kerajaan Uthmaniyyah secara mengejut dan membenarkan Inggeris mara ke sebelah utara tanpa mendapat sebarang tentangan. Ketika itulah ia mengadu jatuh sakit dan telantar di di Kem Nablus. Tindakannya itu telah menimbulkan pelbagai spekualasi dan tanda tanya, lantas beliau membawa pasukan tenteranya ke utara sehingga ke Damsyik. Di sana, beliau telah mengeluarkan perintah supaya menghentikan tentangan terhadap Inggeris sekaligus membuka peluang kepada Inggeris untuk mara ke wilayah-wilayah Uthmaniyyah. Selepas kekalahan Turki dan perisytiharan gencatan senjata, Inggeris meminta khalifah membubarkan Dewan Rakyat yang berkuasa menentukan kekuasaan khalifah. Selepas pembubaran itu, Inggeris mencetuskan pula huru hara dalam istana Kerajaan Uthmaniyyah sepanjang tempoh dua tahun 1337 - 1338H (1918-1919M) dan meminta khalifah menghentikan angkara yang sengaja mereka rancangkan itu. Mereka kemudian mencadangkan Mustafa Kamal untuk memikul tugas tersebut. Ini supaya Mustafa dapat menjadi orang yang berupaya memenuhi aspirasi rakyat dan satu-satunya pegawai tinggi tentera yang layak mendapat penghargaan daripada pihak tentera. Kedudukkan dan kehebatan Mustafa kamal kini kian terserlah di mata orang ramai, manakala reputasi institusi khalifah pula semakin menurun. Pada waktu yang sama beliau telah merealisasikan perancangan Pihak Bersekutu untuk menguasai wilayah-wilayah Kerajaan Uthmaniyyah. Taktik yang digunakan oleh Inggeris untuk menjayakan rancangan tersebut ialah dengan membebaskan Greek daripada penguasaan Izmir dan ini terang-terang bercanggah dengan teks perjanjian yang telah dimenteraikan oleh Pihak Bersekutu. Semua ini berjalan dengan pantas sekali apabila tentera Greek melepaskan tembakan kepada orang islam Turki di jalan-jalanraya, memaksa mereka menaggalkan tarbus yang kemudian dipijak-pijak dengan kaki, menaggalkan purdah yang dipakai oleh wanita Muslim, membakar perkampungan Islam di Izmir dan menyembelih orang Islam tanpa belas kasihan. Di tengah-tengah kegawatan tersebut, kapal Ainabuli telah berlabuh di perairan Izmir di tengah-tengah armada laut Inggeris dan Greek, lalu Ataturk menuju ke Izmir dan mengerah segala keupayaannya dan memperlihatkan modus operandi yang menyakinkan dalam menentang Greek. Ataturk mengutus telegram kepada khalifah untuk menjelaskan keadaan yang genting ini. Akan tetapi kerajaan mendesak beliau pulang untuk mengelakkan belaiu daripada terus menibulkan huru-hara. Khalifah cuba memujuk Ataturk tetapi belaiu tetap enggan pulang malahan menghantarkan telegram kepada baginda, "Saya akan tinggal di anadul sehingga kemerdekaan dapat dicapai." Ataturk mula melancarkan revolusi yang disokong sepenuhnya oleh Inggeris dan beliau telah berjaya pada peringat permulaan. Ini berlaku apabila gerakan belaiu telah diserati oleh para pemimpin muda dan pemikir-pemikir yang meletakkan syarat agar tidak membabitkan khalifah. Pertempuran di antara tentera Uthmaniyah dengan Greek telah berlanjutan selama satu setengah tahun. Semasa pertempuran sedang berlaku, Pihak Bersekutu telah mengumumkan bahawa mereka berkecuali. Sungguh menghairankan kerana senjata-senjata yang dibelakkan kepada Mustafa Kamal adalah dari Rusia hasil perancangan rapi pihak Inggeris di Busfor sekalipun Rusia memang memusuhi Kerajaan Uthmaniyyah. Pada 23 Mac 1921M (1340H), tentera Greek mencetuskan kembali api peperangan. Pada bulan September tahun yang sama, pertempuran di antara kedua-dua belah pihak terhenti apabila Greek menarik keluar tenteranya dari Izmir. Dua hari selepas itu, tentera-tentera Uthmaniyyah mula memasuki Izmir tanpa menggunakan sebarang kekerasan. Propaganda Barat telah membesar-besarkan kemenangan pimpinan Mustafa Kamal ini dan menyebarkannya dengan cepat ke negara-negara Islam. Orang islam telah tertipu dengan tindakkan Mustafa yang berjaya memenuhi aspirasi mereka sehinggakan Ahmad Shauqi pernah memuji belaiu melalui sebuah qasidah yang mengumpamakan Ataturk seperti Khalid bin al-Walid. Maha Besar Allah betapa kemenangan yang penuh keajaiban, Khalid Turki hidupkanlah kembali, Khalid Arab. Malangnya impian mereka yang tertipu dengan tindakan Mustafa tidak tercapai kerana 3 Mac 1343H (1924M)., tersiar berita tentang pembubaran Kerajaan Khalifah. Khalifah dan kerabat diraja telah dihalau keluar dari negara Turki, manakala dua buah kementerian iaitu Kementerian Wakaf dan Kementerian Undang-undang Syari'ah telah dimansuhkan. Sekolah-sekolah agama telah ditukar menjadi sekolah-sekolah awam. Musuh-musuh Islam melihat bahawa penghapusan Khilafah Islamiah bukanlah suatu perkara mudah. Ia hanya akan tercapai dengan cara menonjolkan seorang wira yang agung dan Mustafa merupakan orang yang digelar wira tersebut.
Pihak Inggeris telah melaksanakan rancangan ini bersama-sama Mustafa Kamal sendiri. Mereka juga telah membebaskan Greek dari Izmir dengan mendakwa Mustafa adalah pahlawan sebenar yang menjayakan kemenangan tersebut. Seluruh rakyat mula mempercayai perkara ini dan bagi Inggeris inilah masa yang paling sesuai untuk memasukkan jarumnya bagi menghancurkan Islam.
Sungguh menghairankan, cara ini masih tetap digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menlancarkan serangan terhadap islam sehingga hari ini. Inggeris mengiktiraf kemerdekaan Turki dan mengundarkan tenteranya apabila Ataturk membubarkan pemerintahaan khalifah. Pernah seorang ahli Parlimen Inggeris menyoal Lord Carrizon (Menteri Luar British ketika itu) dalam Dewan Parlimen Britain tentang pengiktirafan kemerdekaan Turki. Lord Carrizon membalas, "Apa yang berlaku ialah Turki telah dikuasai tanpa sebarang tentangan kerana kita telah menguasai kekuatan spiritualnya iaitu Sistem khilafah Islam". Syeikhul Islam, Mustafa sabri selepas melarikan diri ke Mesir pernah berkata, Memang mudah sekali Inggeris menjadikan Mustafa Kamal sebagai wira pada saat mereka menekan Khalifah dang mengulingkan baginda. Dalam episod ini terserlahlah kebolehan Ataturk pada pandangan orang islam. Ataturk adalah seorang lelaki yang tidak ada tolok bandingnya bagi Inggeris. Beliau telah meruntuhkan kesucian Islam (lebih-lebih lagi peradabannya) dalam masa satu hari sahaja sedangkan pihak Inggeris sendiri tidak mampu untuk melakukannya walaupun setahun. Apabila Inggeris berasa yakin dengan keupayaan dan kekuasaan Ataturk, mereka melantknya menjadi ketua kerajaan boneka tersebut dan sesudah itu mereka pun ke luar dari negara kami." Sesungguhnya pembubaran Sistem Khilafah Islamiah merupakan titik tolak dalam urutan strategi yang didokong oleh Ataturk demi untuk memisahkan agama Islam daripada sistem pemerintahan di Turki dan meminggirkan Islam daripada aspek kehidupan. Ataturk melarang pakaian-pakaian Islam sebaliknya mewajibkan pemakaian fesyen-fesyen Barat. Dala tempoh beberapa tahun sahaja, beliau telah berjaya menghapuskan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil-adha serta melarang orang islam mengerjakan Ibadah Haji. Beliau turut menutup beberapa buah masjid , umpamanya, mengubah Masjid Besar Aya Sofea menjadi sebuah gereja dan selepas itu mendikan sebuah gedung. Dalam urusan munakahat, belaiu melarang poligami dan membenarkan perkahwinan wanita Islam dengan bukan Islam. Beliau membatalkan cuti hari Jumaat, melarangkan azan dalam Bahasa Arab dengan menukarkannya kepada Bahasa Turki. Disamping itu, belau turut menghapuskan penggunaan huruf-huruf Arab dalam penulisan dan menukarkannya kepada huruf Latin. Tindakan yang dilakukan oleh Ataturk ini nyata sekali telah memisahkan budaya Turki daripada akar umbi agama Islam dan menghapuskan satu peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Turki iaitu agama Islam sebagi agama rasmi negara Turki. Ataturk berusaha dan berkerja keras untuk menghapuskan para penentangnya. Belai membakar akhbar-akhbar, menangkap ketua-ketua pengarang akhbar dan juga mengawasi para ulama. Ataturk juga telah mengasaskan Parti rakyat Republikan pada tahun 1342H (1923M) dan menjadikan presidentnya sehinggalah belaiu meninggal dunia pada tahun 1357H (1938M). Ataturk hidup tanpa isteri dan anak-anak. Isterinya bernama latifah hanim hanya mampu tinggal bersamanya selama setahun sahaja kerana tidak tahan denagn kefasikan Ataturk. Kediamannya dipenuhi dengan segala macam kemungkaran daripada arak sehinggalah wanita. Ketika Ataturk terlantar menunggu saat kematiannya, beliau begitu takut jika tidak ada orang yang dapat mengantikannya dan mampu meneruskan apa yang telah dilakukannya sebelum ini. Lalu beliau memanggil Duta Britain di Turki,Bercy Lorren ke kediamnya di Istanbul meminta duta tersebut menggantikannya sebagai presiden. Ataturk mempunyai kuasa untuk memilih pengganti sebelum beliau mati, tetapi duta tersebut menolak permintaan Ataturk. Mustafa Kamal dikebumikan dalam keranda timah setelah disembahyangkan di istana presiden yang dihadiri oleh beberapa orang pemimin kanannya yang saling bercanggah pendapat sama ada patut atau tidak belaiu disembahyangkan. Jenazahnya kemudian di bawa ke Ankara dalam upacara rasmi. Jawatan presiden kemudianya disandang oleh rakan Ataturk, Esmat Enunu pada tahun 1357H (1937M).
Dipetik dari Portal SU.